Followers

Monday, January 16, 2012

Aku harap yang baik, Allah akan memberi yang baik

Berusahalah dengan segala upaya yang dikurniakan Allah. Tidak salah. Malah, kita dituntut untuk mencorakkan kehidupan sendiri dengan panduan serta kekuatan yang dibekalkan oleh Allah jua. Namun, setelah berusaha dan bersusah payah semaksimumnya, letakkan segalanya di pinggiran. Jangan sekali-kali bersandarkan kepada diri, namun bertawakkal, bersangka baik dan berdoalah kepada Allah. Apapun nanti hasilnya, katakan pada diri, "Aku harap yang baik, Allah akan memberi yang baik."

Jika yang diharapkan berlaku, maka bersyukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka maka bersabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Seringkali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan. Seringkali kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku. Namun, apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah takdirkan kita berundur ke belakang untuk mengambil lajak bagi melonjak lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan.

Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Kita akan terus berbaik sangka kepada Allah. Dia akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik setiap takdir-Nya. Ya, kita tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu sekelumit cuma. Namun apabila Allah yang Maha Penyayang telah memilih itu kita maka yakinlah kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya. Yang pahit itu akan menjadi ubat. Yang pedih itu akan menjadi penawar.Jika itulah suara hati kita, mana mungkin kita gelisah, resah dan stress keterlaluan? Yakinlah, kita hamba Allah. Allah tidak akan mengecewakan kita.

No comments: